Ada
sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang
sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar
setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup.
Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.
Pada
suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi
menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada
kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe
beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain.
Ternyatalah memang kesemuanya belum masak lagi.
Perempuan
tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan
laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih,
dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Tuhan yang menyatakan
bahawa Tuhan dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagi Tuhan tiada
yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , “Tuhan , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini
menjadi tempe. Amin” Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh
hatinya. Dia sangat yakin bahawa Tuhan pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang
perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan
dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu
menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang
soya.
Namun
dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar
oleh Tuhan. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi.
“Tuhan, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari
ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar
jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin”. Dengan penuh harapan dan
debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi?
Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!!
Sementara
itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai
orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul.
Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk
tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu.
Perempuan
tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa
dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia
berfikir mungkin keajaiban Tuhan akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar.
Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa.
“Tuhan, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan
menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe
ini.
Amin”.
Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca
doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan
barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah
menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan
menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.
Perlahan-lahan
dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi?
Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam.
Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Tuhan
kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak
kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia
akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia
berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi.
Sementara
itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula
kurang. Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka
sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan
bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di
sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Tuhan, pasti Tuhan akan
menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan
langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, “Tuhan, berikanlah
penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.” Tiba-tiba dia
dikejutkan dengan teguran seorang wanita.
“Maaf
ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari
tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum
berjumpa lagi.” Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut
sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya
mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di
depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya “Tuhan, saat ini aku
tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin”.
Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup
tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum
menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Tuhan.
Wanita
itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita
tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, “Mengapa hendak membeli tempe yang
belum jadi?” Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England
teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke
England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila
sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan
tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan
rasanya pun kurang sedap.
Perempuan
tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan
oleh Tuhan…
0 comments:
Post a Comment